Tumpuan :
Nasional

KKM belanja lebih RM23 bilion beli ubat-ubatan sejak 2015 hingga 2023

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan lebih RM23 bilion untuk membeli ubat-ubatan sejak 2015 sehingga tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perbelanjaan pembelian ubat bagi tahun lalu telah meningkat sebanyak 80 peratus dalam tempoh 8 tahun berbanding 2015.

“Peningkatan peruntukan kewangan ini adalah selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat-ubatan baharu mengikut kepakaran yang lazimnya masih dalam tempoh paten dan harga ubat lebih mahal.

“KKM juga mengunjurkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah ALam, Azli Yusof di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, katanya beberapa strategi telah dibangunkan berpandukan kepada Dasar Ubat Nasional (DUNas) di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan bagi memastikan keterjaminan ubat-ubatan untuk negara menerusi pembangunan teknologi dan kapasiti pengeluaran tempatan.

Katanya, kementerian itu memastikan ketersediaan ubat-ubatan National Essential Medicine List (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan serta memberi keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk.

Selain itu, KKM juga menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal.

“KKM sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara ini bermula dari penemuan, kajian pra-klinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya.

“Kerjasama ini merentasi pelbagai kementerian dan agensi awam serta melibatkan sektor swasta khususnya pemain industri,” katanya.

Dalam masa sama, KKM juga berusaha untuk mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR) melalui sesi libat urus terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini