comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM bincang dengan KPT tingkat pakar geriatrik, sasar 8 pakar setahun

FOTO: NSTP

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan program Sarjana Perubatan untuk meningkatkan jumlah pakar geriatrik berikutan Malaysia menuju negara menua menjelang 2043.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM berharap sekurang-kurangnya dapat melahirkan lapan pakar setahun kerana kekurangan pegawai perubatan atau lepasan siswazah yang kurang berminat dalam bidang merawat sakit tua.

Beliau memaklumkan hanya Universiti Malaya (UM) yang menawarkan kursus pakar geriatrik dengan menghasilkan tiga hingga lapan siswazah setahun dalam bidang terbabit.

“Di fasiliti-fasiliti kesihatan awam KKM, kita ada 33 pakar geriatrik atau sakit tua, 13 di hospital-hospital KPT dan 14 di hospital swasta seluruh negara. Jadi pastinya tidak mencukupi ke arah satu masyarakat menua.

“Kita akan sangat gembira sekiranya mampu melahirkan sekurang-kurangnya lima pakar setahun. Kita benar-benar perlu meningkatkan pemasaran bagi menarik lebih ramai individu berminat dalam bidang ini.  Bagaimana jika diberikan insentif bagi mereka untuk mengambil bidang kepakaran itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Air Putih di sini hari ini.

Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 apabila 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.

Selain itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, kerajaan sedang melihat secara keseluruhan pelan sumber manusia termasuk memastikan jumlah pegawai penguat kuasa makanan mencukupi di negara ini dalam usaha memastikan keselamatan makanan.

“Saya tidak pasti berapa jawatan yang kita akan tambah tetapi kita akan meneliti perkara ini secara serius bagi menjamin keselamatan makanan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KKM dan Jabatan Kerja Raya sedang menyiapkan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan yang bernilai RM30 juta manakala pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters Integrasi Mak Mandin, Seberang Perai Utara pula dijangka bermula tahun hadapan dengan kos RM54 juta.

Ujarnya, RM150 juta diperuntukkan bagi pembaikan dan naik taraf 400 klinik daif seluruh negara dengan RM4.5 juta daripadanya khusus untuk 11 klinik daif di Pulau Pinang.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa kira-kira sejam di Klinik Kesihatan Bayan Lepas di sini bagi lawatan dan meninjau fasiliti yang terdapat di situ.

April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM72 juta bagi pembangunan semula Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini