comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM Cinta Sejati Saya – Khairy

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Meskipun hanya lebih setahun menerajui Kementerian Kesihatan (KKM), Menterinya, Khairy Jamaluddin menyifatkan kementerian itu sebagai cinta sejatinya.

Menurutnya, beliau berasa bangga untuk bersama warga kerja KKM dan menganggap ia sebagai keistimewaan terbesar dalam kerjaya beliau untuk berkhidmat di KKM.

“Saya selalu sebut waktu saya dilantik sebagai menteri buat kali pertama pada tahun 2013 sebagai Menteri Belia dan Sukan, kementerian itu selama-lamanya akan menjadi cinta pertama saya.

“Setelah setahun di KKM, saya boleh istilahkan KKM sebagai cinta sejati saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKM di sini, hari ini yang disambut sorakan warga kerja KKM.

Khairy berharap misi untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kerajaan pada kadar yang rendah atau hampir percuma kepada rakyat diteruskan.

“Kalau saya boleh rumuskan pengalaman saya di KKM, orang ramai beritahu saya bahawa perkhidmatan daripada doktor dan jururawat adalah yang sangat cemerlang dan terbaik.

“Tetapi infrastruktur dan bangunan tidak boleh menandingi perkhidmatan kesihatan yang dibekalkan oleh petugas kesihatan…bangunan uzur, klinik daif dan peralatan hospital yang sering rosak.

“Saya janji di mana-mana saya ada selepas ini, saya akan terus berjuang supaya KKM menerima lebih banyak pelaburan,” katanya.

Beliau turut menitipkan lima nilai teras yang perlu menjadi identiti, selain mencerminkan budaya kerja dan falsafah KKM.

“Nilai Teras KKM menggunakan akronim P.R.I.D.E. Pemilihan P.R.I.D.E. adalah untuk membangkitkan rasa bangga (pride) dan keutuhan matlamat (sense of purpose) dalam kalangan warga kerja KKM.

“Nilai teras itu adalah P (People First – Pesakit dan warga KKM adalah keutamaan), R (Respect – Hormat), I (Integrity – Integriti), D (Duty of Care – Tugas dalam Penjagaan) dan E (Excellence -Kecemerlangan),” katanya.

Pada majlis sama, Khairy melancarkan dua volum buku meja kopi terbitan Hospital Sungai Buloh iaitu volum pertama bertajuk ‘Emersion: Transcending The Tide…Sungai Buloh Hospital COVID-19 Journey’ diterbitkan pada 2021 dan volum kedua bertajuk ‘Odyssey Sungai Buloh Hospital COVID-19 Journey’ diterbitkan tahun ini.

Kedua-dua buku berkenaan mengandungi kompilasi gambar dan catatan pengalaman petugas barisan hadapan hospital tersebut dalam menangani pandemik COVID-19 bermula daripada gelombang pertama melanda negara pada 25 Januari 2020 sehingga ke peralihan ke arah fasa endemik pada April tahun ini.

Loading...
Terkini