comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM dan KPM sedia kerjasama bendung isu ketagihan vape dalam kalangan pelajar

KUALA LUMPUR: Bagi membendung masalah ketagihan penggunaan vape dalam kalangan pelajar, Kementerian Kesihatan (KKM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, jalinan kerjasama itu termasuklah mengadakan kempen kesedaran serta penerangan mengenai bahaya produk berkenaan khusus kepada golongan kanak-kanak.

“KKM kesal dengan laporan terdapat sebilangan besar kanak-kanak ketagihan menghisap vape yang dimiliki oleh keluarga kita.

“Jadi KKM akan memperluaskan kempen kesedaran berkaitan isu itu serta bersedia menjalinkan kerjasama dengan KPM,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian bagi mengulas mengenai pendedahan yang dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai sebilangan besar kanak-kanak ketagihan vape walaupun tidak memilik alat itu.

Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis, NV Subbarow, berkata kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun itu mengakui mereka mencuba vape dan e-rokok milik bapa atau abang mereka ketika berada di rumah atau dalam kereta.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh kanak-kanak yang mengikuti program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok yang dijalankan CAP di beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.

“Seramai 200 kanak-kanak daripada keseluruhan 300 yang ditemukan CAP ketika program tanpa nikotin bagi kanak-kanak, mengakui mereka mengambil vape dua kali seminggu,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata ahli keluarga juga perlu memainkan peranan penting dalam mengatas isu ketagihan vape dalam kalangan kanak-kanak ini.

“Ibu bapa diminta memantau perlakuan anak-anak mereka dan ahli keluarga yang lebih dewasa atau remaja dalam keluarga itu juga perlu ada rasa tanggungjawab.

“Mereka seharusnya tidak memperkenal atau menggalakkan kanak-kanak ini untuk mencuba menggunakan vape kepunyaan mereka,” katanya.

Loading...
Terkini