Tumpuan :
Nasional

KKM kesan 6 penyakit bawaan air akibat banjir

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak enam jenis penyakit bawaan air dihidapi oleh mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat semalam, di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata seramai 7,853 daripada 34,503 mangsa banjir disahkan menghidap penyakit berkenaan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di setiap PPS.

Katanya, sebanyak 7,304 mangsa banjir disahkan menghidap jangkitan pernafasan akut, gastroenteritis akut (3170), radang mata (197), cacar air (20), penyakit tangan, kaki dan mulut (13) dan COVID-19 (dua).

“Bagaimanapun, tiada mangsa disahkan menghidap demam kepialu, penyakit kencing tikus dan wabak lain.

“Bagi pesakit COVID-19, KKM mempunyai garis panduan untuk menanganinya daripada merebak dan kami sudah mengasingkannya,” katanya sambil menyatakan pasukan kesihatan akan berada di PPS sepanjang masa dan melakukan rutin pemeriksaan.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di sini, hari ini.

Ketika ini, Terengganu dan Kelantan kembali dilanda gelombang kedua banjir dengan sejumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka manakala jumlah mangsa di Johor dan Pahang juga semakin meningkat melebihi 150 orang.

Di Perak mencatatkan seramai 42 mangsa di dua PPS, manakala di Melaka tiada mangsa ditempatkan, tetapi dalam keadaan berjaga-jaga berikutan satu daerah masih dilanda banjir setakat jam 4 ptang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
Loading...
Terkini