Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menunggu laporan penuh daripada beberapa pihak berkaitan isu penahanan mayat bayi di sebuah hospital.
Menterinya, Datuk Seri Dr.Dzulkefly Ahmad meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang untuk siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berwajib.
“Saya mahu semua kita menangani isu ini penuh ehsan, belas dan empati. Bukan perkara yang mudah, ada dakwaan sini sana, saya percaya kita boleh bersabar untuk dapatkan fakta yang sebenarnya sebelum kita mendapatkan apa-apa andaian yang kita akan kesal kemudian.
“Saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan yang penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk daripada pihak kami, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) yang telah mendekati beberapa pihak yang terbabit,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.