comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM mulakan kajian perancangan sumber manusia bagi menepati keperluan fasiliti kesihatan

Oleh: Kumaran Rajamoney

BALING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memulakan kajian perancangan sumber manusia bagi menepati pelan pembangunan fasiliti kesihatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan kajian itu bagi memastikan fasiliti yang dibangunkan pihak kementerian dilengkapi dengan tenaga doktor pakar, jururawat dan lain-lain sistem sokongan sumber manusia  yang lain.

“Keperluan kita yang penting adalah untuk meningkatkan jumlah doktor pakar. Selain itu, kementerian turut melihat kepentingan menyediakan satu pasukan yang lengkap bagi memberi sokongan terbaik kepada setiap doktor pakar.”

“Seorang pakar bedah misalnya, memerlukan pasukan jururawat dan lain-lain sumber manusia sokongan bagi memastikan sesebuah fasiliti dapat berfungsi dengan baik. Kita tidak mahu ada fasiliti dengan empat bilik pembedahan misalnya, tapi cuma satu atau dua daripadanya dapat dimaksimakan penggunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keperluan lebih 28,000 doktor pakar menjelang tahun 2030 bagi memenuhi keperluan kemudahan kesihatan di negara ini.

Katanya, kerajaan merancang untuk membangunkan banyak fasiliti kesihatan dengan kemudahan kepakaran.

“Dengan adanya kemudahan kepakaran di hospital daerah, maka trafik pesakit ini dapat dialihkan. Tumpuan kita pastinya adalah bagi memastikan adanya doktor pakar yang kekal di setiap fasiliti yang kita ada sekarang.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas, di Kubang Pasu, Kedah.

Bangunan Tambahan Hospital Baling siap pada 26 Februari 2024 dengan kos keseluruhan berjumlah RM124.7 juta melibatkan sembilan bidang kepakaran.

Bangunan baru ini akan mula beroperasi pada 10 Jun 2024 seterusnya meningkatkan kemudahan di Hospital Baling kepada 210 buah katil, empat dewan bedah, lapan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan katil Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU).

Klinik Kesihatan Kepala Batas pula siap sepenuhnya pada 29 Februari lalu melibatkan kos RM31 juta bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada, yang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini