Tumpuan :
Nasional

KKM prihatin kebajikan, keseimbangan kerja-kehidupan kakitangan kesihatan

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau fasiliti pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar hari ini. – Foto NSTP

SERI ISKANDAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa prihatin terhadap kebajikan jururawat bagi menjaga kepentingan, kemaslahatan, keseimbangan kerja-kehidupan kakitangan kesihatan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, KKM bersedia menambahbaik arahan waktu bekerja dari semasa ke semasa.

Ia merujuk arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu mulai 1 Disember ini.

“Kita akan perbaiki dan tambah baik arahan ini kerana kepentingan, kemaslahatan, keseimbangan kerja-kehidupan adalah sangat penting terutama kepada kakitangan kesihatan.

“Kalau ada apa (isu berbangkit), kita sedia pertimbangkan untuk menjaga kebajikan jururawat kami di KKM, kita ambil perhatian semua, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jururawat perlu bekerja 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini, kebajikan barisan hadapan kesihatan itu akan lebih terjaga menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel.

“Sebenarnya (jururawat ditetapkan) bekerja empat hingga enam hari seminggu di mana tempoh bekerja sehari mestilah tidak kurang daripada lapan jam dan tidak lebih daripada 12 jam.

“Dalam pada itu, kita beri satu jam dikatakan tempoh rehat dalam waktu bekerja, sementara satu hingga tiga hari cuti seminggu.

“Saya kira sangat munasabah dan berwajaran,” katanya selepas meninjau Projek Hospital Seri Iskandar, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan diluahkan beberapa pihak termasuk Kesatuan Jururawat Malaya yang menyifatkan tidak adil membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini