KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia meminda perundangan sedia ada berkaitan kesihatan mental bagi mengekang salah laku terutama membabitkan kes jenayah dilakukan golongan terbabit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun perkara berkenaan perlu diperhalusi, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
Mengakui bimbang pesakit berkaitan mental menggunakan keadaan kesihatan sebagai alasan melakukan sebarang salah laku, beliau juga mahu keadaan sedemikian segera dinoktahkan.
“Semua ini (pindaan sebarang perundangan sedia ada) memerlukan penelitian lebih cermat dan kita pastinya akan memuat perbincangan dalam mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita juga akan merujuk kepada penasihat perundangan kementerian. Masih terlalu awal untuk membincangkan perihal pindaan sebarang perundangan berkaitan.
“Pastinya kes ini adalah serius dan akan melihat secara menyeluruh, termasuk keperluan pindaan perundangan atau sebagainya.
“Namun, lebih mustahak untuk memahami setiap kes terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan,” katanya pada sidang media Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis perasmian MIH Megatrends 2024 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta KPJ Healthcare itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Zainal Alhakan Seman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.