comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM selesaikan suntikan HPV kepada baki 700,000 pelajar sebelum tamat sesi 2024

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni melihat seorang pelajar menerima suntikan ketika pra-pelancaran Imunisasi HPV ‘Catch-Up’ di SMK Pusat Bandar Puchong 1, Puchong. -Foto NSTP

PUCHONG: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyelesaikan pemberian suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) membabitkan 719,178 murid perempuan Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi kohort 2021 hingga 2024 yang terlepas imunisasi itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, menerusi program khas dinamakan Pemberian Imunisasi HPV ‘Catch-up’ bermula bulan ini, KKM menyasarkan kesemua baki murid yang tercicir sebelum ini akan menerima suntikan berkenaan sebelum sesi persekolahan 2024 berakhir Februari tahun depan.

“Menurut data KKM, secara keseluruhan, 719,178 pelajar belum menerima vaksin HPV di seluruh negara, susulan pandemik COVID-19 yang menyebabkan gangguan bekalan vaksin itu di peringkat global.

“Bagaimanapun, tahun ini, perolehan vaksin ini adalah sebanyak 802,000 dos, ini bermakna kita ada dos mencukupi untuk memberikan imunisasi kepada baki pelajar terbabit dengan keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Tiga.

“Ini bagi memastikan mereka mendapat suntikan sebelum tamat persekolahan,” katanya kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Pemberian Imunisasi HPV ‘Catch-up’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, Ketua Sektor Kesihatan Sekolah KKM, Dr Radziah Mohamad dan Pengetua SMK Pusat Bandar Puchong 1, Noor Hasni Abdullah.

Pada program yang turut dijalankan serentak di beberapa sekolah di seluruh negara itu, seramai 200 murid perempuan Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat SMK Pusat Bandar Puchong menerima suntikan imunisasi HPV.

Imunisasi itu bertujuan melindungi remaja perempuan daripada jangkitan HPV yang menyebabkan kanser serviks dengan setiap pelajar hanya perlu menerima satu dos vaksin sebagaimana diputuskan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bilangan 16/2023.

Lukanisman berkata berdasarkan data terkini KKM, bagi kohort 2021, seramai 54,224 murid perempuan Tingkatan Empat masih belum menerima suntikan vaksinasi HPV, kohort 2022 seramai 220,158 pelajar Tingkatan Tiga, kohort 2023 (219,815, pelajar Tingkatan Dua) dan kohort 2024 (225,039, pelajar Tingkatan Satu).

“Program ini adalah sukarela, jadi pelancarannya pada hari ini adalah bagi memaklumkan kepada ibu bapa dan masyarakat yang prihatin bahawa KKM sudah memperoleh bekalan vaksin untuk diberikan kepada murid melalui pasukan kesihatan sekolah.

“Bagi mereka yang setuju untuk menerima suntikan, sijil vaksinasi akan turut muncul di aplikasi MySejahtera sama ada milik pelajar atau ibu bapa mereka,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia sudah melaksanakan Program Imunisasi HPV sejak 14 tahun lalu, iaitu sejak 2010. Secara purata, KKM berjaya memberi imunisasi HPV kepada lebih 90 peratus murid perempuan Tingkatan Satu setiap tahun, namun ia terjejas pada 2021 susulan pandemik COVID-19.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini