comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM siap siaga hadapi kemungkinan gelombang baharu COVID-19

Foto hiasan

PUCHONG: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memutuskan langkah susulan yang akan diambil berikutan peningkatan kes COVID-19 yang direkodkan sepanjang tempoh minggu lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada masa sama, kementerian itu bersiap siaga dengan apa sahaja kemungkinan, termasuk gelombang baharu COVID-19.

“Kita (KKM) sudah keluarkan kenyataan rasmi semalam yang mengesahkan terdapat peningkatan kes COVID-19 bulan ini.

“Langkah (selanjutnya) akan diputuskan oleh KKM dan untuk makluman umum, kita sentiasa bersiap sedia dengan sebarang peningkatan (kes) dan akan ambil kira pandangan pakar mengenainya,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Pemberian Imunisasi HPV ‘Catch-up’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli, Ketua Sektor Kesihatan Sekolah KKM, Dr Radziah Mohamad dan Pengetua SMK Pusat Bandar Puchong 1, Noor Hasni Abdullah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni pada sidang media pra pelancaran Imunisasi HPV ‘Catch-Up’ di SMK Pusat Bandar Puchong 1, Puchong. – Foto NSTP

Ditanya persediaan KKM menghadapi gelombang baharu COVID-19 berikutan Singapura baru-baru ini mencatatkan jumlah kes positif dua kali ganda, Lukanisman berkata, tahap kesiapsiagaan KKM adalah tinggi dengan pelbagai pengalaman menangani ancaman wabak itu sejak ia masuk ke negara ini.

“Kita perlu faham virus COVID-19 ini akan terus bersama kita, jadi saya sarankan orang ramai terus berwaspada dengan langkah dan panduan dikeluarkan,” katanya.

Mengenai kemungkinan kes COVID-19 dalam negara melonjak menjelang cuti persekolahan hujung minggu ini, beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini