comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM syor ceramah besar-besaran PRU-15 dibenarkan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengalakkan pemakaian pelitup muka sewaktu menghadiri ceramah politik terutama di kawasan tertutup dan sesak.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tiada sekatan kepada aktiviti pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ini termasuk membenarkan ceramah daripada parti politik diadakan secara besar-besaran.

“Namun orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka untuk keselamatan diri terutamanya sewaktu pilihan raya atau hadir program pilihan raya seperti ceramah politik melibatkan ramai orang di kawasan tertutup dan sesak,” katanya dalam sidang media mengenai situasi semasa COVID-19 di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan parti politik dan calon bertanding untuk menunjukkan teladan yang baik ketika kempen pilihan raya demi kesejahteraan dan kesihatan semua.

Antaranya, memakai pelitup muka apabila menziarahi penduduk terutama pesakit terlantar dan warga emas di kawasan yang tertutup.

“Bila masuk ke kawasan yang sesak, pakai pelitup muka. Kalau kita adakan ceramah di dalam satu dewan dan dewan sudah penuh, parti politik dan penganjur digalakkan membuat pengumuman untuk hadirin memakai pelitup muka.

“Ini adalah langkah-langkah yang perlu diulangi dan dilaksanakan. Kita mahu pilihan raya dijalankan dengan tidak ada terlalu banyak sekatan tetapi pada masa sama kita galakkan gunalah nasihat yang memang sudah wujud dari KKM,” katanya.

Beliau berkata, pandangan KKM mengenai prosedur operasi standard (SOP) membabitkan hari mengundi sudah dihantar kepada SPR supaya proses pengundian dijalankan dengan selamat.

Katanya, calon dan pengundi yang disahkan positif COVID-19 dibenarkan keluar mengundi dan SPR akan mengumumkan peraturan berhubung perkara berkenaan.

Namun, Khairy berkata, calon yang positif sewaktu kempen sedang berjalan dinasihati untuk berada dalam isolasi untuk beberapa hari.

“Anda masih boleh berkempen secara dalam talian. Cadangan juga diberikan untuk petugas dan pengundi memakai pelitup muka ketika berada di pusat pengundian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy turut menyarankan petugas SPR dan petugas barisan hadapan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19.

 

 

Loading...
Terkini