Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tegas dengan pendirian dan tidak akan membuat penarikan semula berkaitan pelaksaanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzukefly Ahmad berkata pihaknya bersedia mengadakan libat urus dengan pihak-pihak berkaitan dalam tempoh enam bulan, sebelum akta itu dilaksanakan sepenuhnya.
“Saya pasti perkara itu akan mendatangkan ketidakpuasan, mereka berhak menyatakan, sebab itu kita beri tempoh yang agak selesa, enam bulan sebelum kita melaksanakan sepenuhnya.
“Dalam pada itu kita buka ruang untuk adakan libat urus dan diskusi untuk saling memahami perspektif satu sama lain.
Kita sedar perkara itu akan ada kelebihan dan kekurangannya tapi kami yakin kita akan dapat penyelesaian terbaik dengan perbincangan, diskusi dan libat urus,” katanya selepas penyerahan memorandum persefahaman (MoU) antara KKM dengan AEON Co. (M) Berhad bagi Pelaksanaan Program Kospen Wow di sini, hari ini.
Melalui MoU yang dimeterai, aktiviti saringan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit akan dilaksanakan di 178 cawangan AEON di seluruh negara, yang melibatkan 9,469 pekerja.
Program itu merupakan satu pendekatan dalam memastikan kesihatan pekerja berada pada tahap yang optimum.
Melalui Akta 852 yang berkuatkuasa 1 Oktober lalu, perniaga yang menjual rokok dan vape perlu menggunakan kabinet tertutup di premis dengan tujuan supaya produk tersebut tidak dipamerkan secara terbuka seperti yang dilakukan sekarang.
Dalam pada itu, langkah berkenaan menimbulkan keresahan pemain industri, khususnya peruncit yang mendakwa memerlukan kos tambahan yang membebankan untuk pengubahsuaian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.