comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM tumpu sedia lori, 4WD untuk bantu operasi di Kelantan

 

Dr Zaliha (kanan) menaiki lori milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika melawat kawasan terjejas banjir di Rantau Panjang. – FOTO: NSTP

PASIR MAS: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi keutamaan kepada usaha memperkemas aset pengangkutan petugasnya di Kelantan khususnya membabitkan lori dan pacuan empat roda terutama di kawasan sering dilanda banjir.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata usaha itu usaha itu penting bagi memastikan kelancaran tugasan kakitangan KKM untuk membantu mangsa dalam kes kecemasan, apatah lagi ketika berlakunya bencana seperti banjir di negeri ini.

Beliau mengakui, pihaknya ada menerima permohonan peruntukan lebih RM2.71 juta daripada Jabatan Kesihatan negeri untuk tujuan pengurusan banjir yang mana antara lain turut membabitkan peralatan perubatan dan pengangkutan.

“Kita lihat pengangkutan adalah suatu keperluan kepada jabatan dalam menjalankan tugasan semasa banjir. Justeru kementerian akan memberi keutamaan untuk memenuhi permintaan berkenaan.

“Selain itu, Kelantan juga diberi keutamaan kerana menjadi antara lokasi yang hampir setiap tahun dilanda banjir. Insya Allah, ia akan diusahakan secepat mungkin dan bergantung kepada bajet yang ada.

“Untuk banjir kali ini, pihak kami banyak dibantu agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari segi pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mendengar taklimat keadaan semasa banjir di daerah Pasir Mas di Pejabat Kesihatan Daerah, di sini, hari ini.

Hadir Sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Husin.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Zaliha berkata, pihaknya turut mengambil langkah proaktif dengan melakukan saringan kesihatan bagi mengenal pasti mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dijangkiti COVID-19

“Mereka yang mempunyai gejala dan dijangkiti akan ditempatkan di PPS berasingan bagi mengelak risiko penularan wabak ketika musim banjir.

“Selain itu, kita mengutamakan mangsa yang mempunyai penyakit kronik yang memerlukan rawatan yang teliti seperti sakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis dan post natal (pasca bersalin),” katanya.

Loading...
Terkini