comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM tutup sementara sistem e-Pharmacist

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menutup sistem penempatan latihan siswazah bagi Pegawai Farmasi Gred UF41, e-Pharmacist bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal teknologi komunikasi maklumat (ICT) kementerian itu menilai dan menangani gangguan teknikal yang menyebabkan insiden gangguan capaian baru-baru ini.

Kenyataan media kementerian itu memaklumkan, sistem yang mula dibuka pada 19 Januari lalu, dikesan mengalami gangguan ekoran aduan calon yang memohon jawatan terbabit.

Kenyataan itu menyebut, sehubungan itu, KKM mengarahkan tindakan segera diambil bagi mengenal pasti isu gangguan teknikal terbabit.

“Antara isu yang dikenal pasti adalah terdapat calon tidak dapat mengakses ke sistem pada waktu yang ditetapkan.

“Keadaan ini menyebabkan calon lewat atau tidak dapat memilih penempatan latihan siswazah lebih awal,” katanya.

KKM berkata, turut berlaku capaian ke sistem yang perlahan (lagging) yang menyebabkan calon terpaksa menunggu lama untuk melengkapkan proses pemilihan penempatan.

Terdapat isu calon yang berjaya memilih penempatan di suatu fasiliti melebihi had slot latihan siswazah yang ditetapkan.

KKM berkata, ia difahamkan bahawa seramai 627 calon ditawarkan pelantikan dan mereka perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini.

“KKM akan membuka semula sistem e-Pharmacist pada tarikh baharu iaitu pada 30 Januari 2023 (Isnin) jam 12 tengah hari hingga 1 Februari 2023 (Rabu).

“Tarikh melapor diri bagi mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) masih dikekalkan pada 13 Februari 2023,” katanya.

Berikutan itu, KKM berharap semua calon terbabit untuk bersabar dan mengakses semula sistem itu pada tarikh yang ditetapkan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini