
KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) menganjurkan Klinik Didik bagi membantu pelajar Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengatur strategi berkesan menjawab kertas soalan subjek teras.
Klinik itu dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Klinik Didik SPM merangkumi subjek Bahasa Malaysia, Sejarah dan Matematik serta Klinik Didik PKSK membabitkan Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains.
Dengan bayaran RM200 bagi satu sesi klinik, pelajar akan diberikan pendedahan mengenai teknik yang berkesan untuk menjawab soalan dan analisis soalan mata pelajaran wajib lulus dengan cara yang mudah.
Pelajar turut diberi himpunan soalan analisis SPM dan PKSK yang lalu bagi membantu mereka merancang pembelajaran dengan lebih teratur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof, ini adalah kali pertama RTMP menganjurkan Klinik Didik PKSK dan Klinik Didik SPM.
“Kami ingin membantu pelajar mempersiapkan diri dari segi minda dan fizikal, berkongsi teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan mudah serta membina keyakinan diri bagi menempuh peperiksaan penting ini.
“Kami yakin dengan kerjasama guru-guru berpengalaman yang bakal mengendalikan klinik ini dapat memanfaatkan pelajar nanti. Buat masa ini, kami akan fokus kepada pelajar sekitar Lembah Klang dan Selangor.
“Setakat ini, kami telah menerima penyertaan yang memberangsangkan. Jadi, bagi mereka yang berminat, jangan lepaskan peluang ini dan lekas merebut tempat di sesi klinik yang disediakan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, walaupun program yang diaturkan padat dari pagi sehingga ke petang, ianya akan diselangselikan dengan aktiviti agar pelajar sentiasa segar, aktif dan bertenaga untuk mengikuti sesi seterusnya.
“Pelajar hanya perlu fokus dalam sesi klinik ini, kerana keperluan seperti set alat tulis dan makanan disediakan oleh pihak kami sepanjang bengkel berlangsung. Sebagai tanda penghargaan, Klinik Didik turut memberikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada setiap pelajar di sesi akhir klinik,” katanya.
Klinik Didik ini merangkumi empat sesi klinik, iaitu dua klinik untuk pelajar SPM dan dua lagi klinik untuk pelajar PKSK.
Sesi berikut bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan dikendalikan oleh guru cemerlang yang berpengalaman dan pakar dalam mata pelajaran teras.
Menurut Nini, lokasi Klinik Didik ini diadakan di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 9 September.
Manakala Klinik Didik PKSK pula akan mengambil tempat di NSTP Balai Berita Bangsar pada 2 September dan Universiti Putra Malaysia pada 16 September.
“Pendedahan ini penting untuk pelajar bagi mengetahui teknik menjawab peperiksaan bagi meningkatkan kualiti kecemerlangan dalam menjawab peperiksaan.
“Program ini dirancang untuk memberi pengetahuan kepada pelajar, mendapat maklumat terkini dan cara mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan melalui strategi dan teknik yang betul dengan pendedahan format soalan yang biasa dan terkini.
“Pelajar juga didedahkan dengan skema pemarkahan oleh pemeriksa. Melalui program ini juga diharap semua pelajar dapat menghadapi peperiksaan PKSK dan SPM dengan penuh yakin dan persediaan secukupnya khususnya dari segi strategi dan informasi,” katanya.
Pendaftaran boleh dilakukan di www.buletintv3.my/klinikdidik.