comscore
Tumpuan :
Nasional

Kluster baharu di Pangsapuri Cheras

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baharu COVID-19 wujud di pangsapuri Cheras yang sudah menjangkiti enam individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kes pertama kluster itu dikenal pasti daripada ujian saringan terhadap pelajar pusat tahfiz.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati tiada pelajar, guru atau kakitangan daripada pusat tahfiz terbabit mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

“Hingga kini, ada enam kes dalam kluster itu, iaitu tiga dikesan membabitkan penghuni pangsapuri berkenaan, manakala tiga lagi di luar kawasan pangsapuri.

“Mereka dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection). Kes positif kluster berkenaan adalah ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca jangkitan kluster berkenaan.

Bagaimanapun, katanya besar kemungkinan penularan berkait aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri.

Loading...
Terkini