comscore
Tumpuan :
Nasional

Kod Tatalaku fokus isu penipuan dalam talian, buli siber, pengantunan seksual terhadap kanak-kanak

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kod Tatalaku yang menjadi garis panduan kepada platform media sosial yang ingin beroperasi di Malaysia akan memberi fokus terhadap tiga isu jenayah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penekanan diberi terhadap isu penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah pengantunan atau seksual terhadap kanak-kanak.

Ujarnya sesi libat urus yang pertama telah dijalankan pada 3 September lalu bagi membincangkan garis panduan Kod Tatalaku berkenaan.

“Ada tiga masalah besar atau jenayah yang telah berpindah ke media sosial, yang ini dimaklumkan kepada saya oleh pihak PDRM, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

“Sebelum ini dalam pertemuan, kita ada membincangkan sejumlah masalah sama ada melibatkan pedofilia, pengantunan dan seumpamanya, tapi seringkali kita dapati kerjasama yang diberi tidak pada tahap yang memuaskan.

“Ada yang dalam media sosial bila mereka muat naik gambar atau video anak-anak mereka, video mereka diturunkan, tapi ada sesetengah yang lain yang meletakkan wajah bukan anak mereka sendiri contohnya, boleh mencapai ratusan ribu pengikut dan tontonan.

“Saya harap mereka (penyedia platform) sedia untuk bantu dan berikan kerjasama,” katanya selepas merasmikan Program Vaksinasi Percuma di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, hari ini.

Menerusi program itu, vaksin cacar air diberi kepada 400 penerima,manakala vaksin papilomavirus manusia (HPV) diberi kepada 100 penerima secara percuma bagi mencegah golongan itu dijangkiti kanser servik.

Menurut Fahmi lagi, pada masa ini kandungan media sosial yang berkaitan kanak-kanak menggunapakai Akta Kanak-kanak 2001.

“Jadi kita bina Kod Tatalaku supaya pihak platform faham jika mereka gagal akur dan patuh undang-undang kita, maka inilah tindakan-tindakan yang boleh diambil terhadap mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini