Tumpuan :
Nasional

Kod tatalaku platform media sosial selewat-lewatnya minggu depan – Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Balai Berita Bangsar, hari ini.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengeluarkan kod tatalaku bagi penyedia platform media sosial selewat-lewatnya minggu depan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kesemua platform media sosial mempunyai tempoh sehingga minggu terakhir Disember untuk mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Saya percaya banyak platform sedang menunggu kod tatalaku dan ada yang minta sedikit maklumat mengenai beberapa rang undang-undang yang bakal dibawa ke Parlimen.

“Setelah kita bentang di Parlimen, akan ada sesi libat urus bersama mereka. Niat kita bukan untuk kekang hak rakyat untuk bersuara atau halang syarikat mereka berniaga atau beroperasi.

“Kita ingin kekang jenayah yang semakin berleluasa dan internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Balai Berita Bangsar, hari ini.

Tegasnya, hasrat kerajaan adalah untuk memastikan platform media sosial tidak dijadikan sebagai lubuk jenayah yang dilakukan secara atas talian.

Bagaimanapun, wujud sesetengah penyedia platform yang membenarkan jenayah seumpama itu berlaku.

Beliau dalam masa sama mengingatkan penyedia platform media sosial agar segera mendaftarkan syarikat mereka dengan MCMC atau berdepan tindakan.

“Kegagalan untuk daftar akan ada kesan perundangan yang mana boleh dikenakan denda atau tindakan perundangan.

“Hasrat kita untuk pastikan platform-platform seperti Tik Tok tidak menjadi tempat scammer berkumpul serta penjenayah yang mula berhijrah ke media sosial,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini