comscore
Tumpuan :
Nasional

Kolaborasi antara negara sedang pesat membangun perlu diperkukuh, sokong ekonomi – PM

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

SAMARKAND: Kolaborasi antara negara sedang pesat membangun perlu diperkukuh supaya dapat menyokong pertumbuhan ekonomi masing-masing dalam kalangan negara yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari sejak Jumaat lepas berkata, dalam konteks hubungan Malaysia dan Uzbekistan, kedua-dua negara perlu menggunakan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Meskipun negara seperti Malaysia dan Uzbekistan banyak bergantung pada pelaburan negara-negara besar, namun masa hadapan kita amat bergantung pada keupayaan membina kekuatan sendiri,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Perdana Menteri berkata pada Sabtu, beliau mengetuai delegasi Malaysia menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di sini, bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev.

Menurutnya, semasa forum yang dihadiri lebih 200 tokoh industri dan ketua-ketua syarikat daripada pelbagai sektor dari Malaysia dan Uzbekistan itu, beliau berkesempatan berdialog bersama para peserta bagi menjelaskan lebih lanjut tentang dasar dan hala tuju negara.

Antara yang menyertai forum tersebut termasuklah syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan melebihi RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group, selain syarikat Malaysia seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.

“Dalam ucapan, saya nyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan, elektrik dan elektronik (E&E), halal dan kewangan Islam, selain bidang baharu seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Datuk Seri Anwar turut berpandangan bahawa syarikat dan agensi di Malaysia perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi hanya dalam tempoh yang singkat.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini