comscore
Tumpuan :
Nasional

Kolaborasi ASM dan Universiti di Wilayah Pantai Timur tingkatkan keupayaan inovasi negara

KUALA TERENGGANU: Akademi Sains Malaysia (ASM), mengalu-alukan universiti awam dan swasta di Wiayah Pantai Timur untuk menyertai Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP).

Kolaborasi itu bakal mendorong data mentah setiap penyelidik mampu diakses dengan lebih mudah, sekaligus mampu mengurangkan pertindihan projek penyelidikan untuk meningkatkan keupayaan inovasi negara.

Menurut Presiden ASM, Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc semasa ucapan beliau di Jerayawara ASM Wilayah Pantai Timur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, ASM ingin memastikan bahawa setiap individu mempunyai akses kepada data mentah penyelidikan negara yang menggunakan dana awam.

“ASM menggesa agar setiap penyelidik untuk membangunkan penyelidikan berasaskan misi (mission-oriented research) bagi memastikan bahawa setiap projek dijalankan memenuhi keperluan serta cabaran semasa dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat”, katanya.

MOSP yang boleh diakses melalui mosp.gov.my, dan ia merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dibangunkan oleh ASM sejak tahun 2019 yang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Haji Yusof pada 16 Mei 2023.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar FASc berkata, UMT sangat menyokong usaha dan inisiatif MOSTI melalui MOSP ini untuk memperkasa penyelidikan dan inovasi bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi proses asimilasi dan pemindahan ilmu hasil penyelidikan translasional dan inovasi di universiti kepada masyarakat.

MOSP kini mempunyai lima universiti penyelidikan yang telah menyertai inisiatif sains terbukaberkenaan iaitu, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Manakala agensi kerajaan adalah MAMPU, Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dan ASM.

MOSP kini mempunyai lebih 1,700 data set dan telah mencapai 8,000 pelawat dalam dan luar negara yang menggunakan platform berkenaan.

Jerayawara ASM Wilayah Pantai Timur dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu telah menarik minat peserta secara dalam talian dan fizikal yang hadir di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT.

Mereka antaranya adalah pelajar, akademia serta pegawai dan wakil-wakil daripada agensi kerajaan dan swasta.

Antara aktiviti yang diadakan bagi program satu hari ini adalah perkongsian oleh Jaringan Pakar ASM antaranya oleh Datuk Dr Mohd Tajuddin Abdullah FASc, Dr Chau De Ming, Dr Liew Chee Sun dan Dr Jayaraj Kumaraj.

Reruai ASM juga turut disediakan dengan pameran berkaitan inisiatif dan program ASM seperti Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP), Rangka Kerja 10-10 MySTIE, e-estidotmy, Komunikasi Sains dan peluang kerjaya.

Terdahulu, jerayawara ASM telah diadakan di Wilayah Sarawak pada 24 Oktober 2023 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan ia akan diteruskan di Wilayah Sabah dan Wilayah Utara pada tahun 2024.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini