comscore
Tumpuan :
Nasional

Kolaborasi KUSKOP, KPKM majukan usahawan Sabah

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup (kiri) pada Sesi Libat Urus Kolaborasi KUSKOP dan KPKM Bersama Usahawan Sabah di Kota Kinabalu.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan lebih banyak program kolaborasi ke arah memajukan usahawan dan rakyat di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata usaha itu sejajar dengan dasar Kerajaan MADANI yang tidak mahu kementerian bekerja dalam ‘silo’ sebaliknya bekerja secara bersama dalam usaha membela rakyat di negara ini.

Ewon berkata beliau dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup telah mengadakan perbincangan ke arah itu baru-baru ini dan sebagai permulaan melawat kawasan parlimen masing-masing iaitu Penampang dan Pensiangan bagi melaksana program dan melihat sendiri keperluan penduduknya.

“Kalau saya dan Datuk Arthur boleh bergerak bersama-sama jadi di lapangan dan akar umbi itu harus juga boleh buat perkara sama. Bukan hanya bincang berapa kerusi bertanding tetapi rakyat dapat rasai menerusi kepimpinan dimandatkan kepada kita,” katanya pada Sesi Libat Urus Kolaborasi KUSKOP dan KPKM Bersama Usahawan Sabah yang turut dihadiri Arthur di sini malam ini.

Katanya, mereka ingin menyampaikan mesej bahawa kerjasama boleh dilakukan merentasi parti, kawasan serta kementerian dan bagi tujuan untuk saling melengkapi.

Sementara itu, Ewon berkata selain isu usahawan dan pertanian, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Arthur, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan berusaha memastikan semua perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan sepenuhnya.

“Setakat ini kita sudah dapat sembilan perkara (MA63) dilaksana dan ada beberapa lagi dibincangkan. Ini janji kami berdua kepada rakyat Sabah selagi kami dalam pemimpinan apa dalam Perlembagaan Malaysia dan MA63 dapat dijayakan,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata dalam usaha untuk membangunkan Sabah serta memacu ekonomi yang akan mensejahterakan rakyat, kementerian dalam Kerajaan MADANI tidak boleh bekerja secara bersendirian umpama katak di bawah tempurung.

Beliau berkata kerjasama itu juga penting untuk KPKM membangunkan sektor diterajuinya menjadi lebih moden, dinamik dan kompetitif ke arah memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, tersedia dan mampu dibeli oleh rakyat.

“Dengan sejumlah hampir 505,600 pekerja yang terlibat dalam sektor pertanian di negeri ini, saya melihat potensi yang amat besar untuk kita sama-sama terus membangunkan sektor ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini