Tumpuan :
Nasional

Koleksi telepuk berusia ratusan tahun dipamer buat pertama kali

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Seni warisan Melayu jika tidak dipelihara pasti tinggal kenangan.

Begitu juga dengan seni telepuk yang cukup sinonim dengan golongan istana namun seakan menghilang kerana tidak diusahakan sejak lima dekad lalu.

Mengembalikan kegemilangannya, Pameran Pesona Telepuk:Seni Perada Emas yang diadakan di Muzium Tekstil di sini mempamerkan 183 koleksi berusia ratusan tahun, buat pertama kali kepada khalayak ramai.

Dibuka kepada orang awam sejak 28 Oktober hingga 31 Disember depan, pameran ini menjadi salah satu usaha mengembalikan seni telepuk yang pernah menghias tekstil tradisional Melayu.

Ia mengetengahkan koleksi telepuk ‘masterpiece’ milik kerabat diraja pelbagai negeri seperti koleksi baju sikap, kain setangan serta kain sarung.

Lebih istimewa pengunjung buat pertama kalinya berpeluang melihat sendiri dari dekat busana telepuk berusia 170 tahun milik Sultan Selangor keempat, Almarhum Sultan Abdul Samad.

Bagi Kurator Muzium Tekstil Negara, Salmiahwati Djafar, seni telepuk merupakan kemahiran seni luar biasa dimiliki artisan seni Malaysia yang dihasilkan dengan teknik menekap motif menggunakan cop ukiran kayu bergam kepada kain tenun yang kemudian dilekapkan dengan kertas emas atau perada.

“Ini adalah penganjur julung kalinya secara besar-besaran yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Muzium, muzium negeri serta daripada orang perseorangan dimana setiap koleksi ini kami kumpul agar orang ramai dapat lebih pendedahan mengenainya,” katanya.

Bagi Tokoh Kraf Negara, Norhaiza Noordin, telepuk adalah produk warisan negara yang unik dimana proses menghasilkan telepuk melibatkan empat bentuk kearifan iaitu menenun kain, menggerus kain, mengukir sarang telepuk dan menelepuk.

Justeru, kefahaman serta penghayatan mengangkat khazanah negara itu perlu dipertingkatkan agar legasi seni itu diteruskan generasi akan datang.

“Penggunaan kain telepuk di Tanah Melayu dibuktikan melalui rekod dalam pelbagai karya sastera Melayu lama terutamanya perihal adat-istiadat dan peraturan pemakaian diraja serta catatan beberapa penulis Barat.

“Seni kearifan Melayu itu bagi saya luar biasa, ia dapat dilihat menerusi penyusunan motif telepuk itu yang seakan ‘berbahasa’ dan mempunyai maksud tersendiri.

Turut mencuri tumpuan, busana yang dipakai Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid ketika istiadat pertabalan King George V di London pada tahun 1911.

Juga koleksi busana telepuk, iaitu kebaya labuh milik Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini