comscore
Tumpuan :
Nasional

Komitmen, dukungan berterusan perkasa wanita dalam ekonomi, kewangan dan sosial – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Majlis Perasmian pembukaan Persidangan Dunia Ke-20 Associated Country Women of the World di Hotel Marriot, Putrajaya. -FOTO: Anwar Ibrahim/Facebook

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan komitmen dan dukungan berterusan kepada segala usaha memperkasa kaum wanita khususnya dalam sektor ekonomi, kewangan dan sosial, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang menghadiri majlis perasmian pembukaan edisi ke-30 Persidangan Wanita Desa Sedunia (ACWW) 2023 di Putrajaya hari ini berkata menerusi pelbagai inisiatif dan program yang dirangka, beliau percaya wanita akan terus diberi peluang yang adil dan saksama untuk berjaya dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata keberadaan ACWW sebagai wadah pertemuan dan wacana bagi wanita-wanita dari pelbagai negara merupakan sumber inspirasi yang terbesar.

“Saya mengharapkan (melalui) kerjasama serta pertukaran idea ini kita dapat memperluas ruang gerak dan peluang untuk memajukan hak dan kepentingan wanita di dunia dan khususnya di Malaysia. Semoga persidangan ini berjalan dengan lancar dan sukses sepenuhnya.

Teruskan usaha mulia kalian dalam membawa wanita ke tahap yang lebih tinggi dalam masyarakat. Kejayaan wanita adalah kejayaan negara dan dunia. #MalaysiaMADANI,” kata Anwar menerusi catatan di Facebook hari ini.

Menerusi catatan itu, Perdana Menteri turut mengucapkan selamat maju jaya kepada ACWW atas usaha dalam memartabatkan serta meningkatkan kedudukan wanita di peringkat global.

Majlis perasmian persidangan itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ACWW diasaskan pada 1929 untuk mengumpulkan wanita luar bandar dan organisasi mereka di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menangani cabaran yang dihadapi mereka termasuk pengasingan dalam komuniti, diskriminasi dan kekurangan penglibatan mereka dalam proses politik.

Keahlian ACWW merangkumi 82 negara dan sejak 1947, persatuan itu telah meluluskan lebih 180 resolusi dasar melalui undian popular.

Persidangan tahun ini yang berlangsung dari 17 hingga 25 Mei ini menghimpunkan kira-kira 500 ahli ACWW dari seluruh dunia. – BERNAMA

Loading...
Terkini