comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN keluarkan kompaun RM4.4 juta terhadap 12 syarikat terkait GISBH

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kompaun sebanyak RM4.4 juta terhadap 12 syarikat yang mempunyai kaitan dengan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu diambil selepas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati kesemua syarikat berkenaan tidak mematuhi tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan masing-masing.

“Selain GISBH, terdapat sebanyak 17 syarikat lain menggunakan nama GISB dalam pendaftaran SSM.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. – FOTO: NSTP

“Pada masa yang sama, semakan data dan laman sesawang berkaitan GISB atau ‘Ikhwan’ pula mendapati sebanyak 201 perniagaan boleh dikaitkan dengan GISB.

“Antara tanggungjawab syarikat setiap tahun ialah perlu mengemukakan penyata kewangan mereka yang telah diaudit.

“Siasatan SSM mendapati 12 syarikat ini tidak patuh dengan tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program TikTok Shop Seller Summit 2024 hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata, KPDN juga juga sedia membantu pihak polis dalam aspek perundangan khususnya berkaitan akta yang membabitkan rangkaian perniagaan mereka.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi kenyataannya turut mendedahkan, GISBH juga tidak pernah membuat sebarang pembayaran cukai.

Perkara itu katanya susulan hasil siasatan yang dibuat bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini