KUALA LUMPUR: Komposer, Allahyarham Othman Mohamed, 65, disahkan meninggal dunia malam semalam di kediamannya di Seksyen 24, Shah Alam, akibat sesak nafas.
Anak keduanya, Izwana Othman, 36, berkata, bapanya sebelum itu dalam keadaan sihat sebelum diserang demam, dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Sebelum ini, bapa saya masih dalam keadaan sihat dan boleh keluar ke masjid dan sebagainya. Cuma, tidaklah sekuat orang lain yang sihat.
“Cuma, dua hari sebelum meninggal, dia demam biasa. Kalau penyakit kronik lain, bapa saya juga menghidap asma,” katanya kepada Harian Metro.
Komposer yang juga abang kepada penyanyi lagu Kau Pergi Jua, Allahyarham Adam Ahmad itu menetap sendirian, tetapi setiap hari akan ditemani anak-anaknya.
“Bapa saya tinggal sendirian di rumah. Tapi, sebab kami tinggal tak jauh, memang setiap hari kami akan berjumpa dan makan bersama. Jadi, tak ada sehari pun yang kami tak berjumpa.
“Tapi, semalam bila kami melawatnya lebih kurang selepas Maghrib, arwah dah tak ada. Bila tengok CCTV di rumah, dapat lihat dia kena serangan sesak nafas,” katanya.
Jenazah Othman disempurnakan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi tadi.
Semasa hayatnya, Othman menghasilkan beberapa lagu malar segar antaranya Kau Pergi Jua, Di Hari Persandinganmu, Episod Cinta, Hanya Di Radio dan banyak lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.