comscore
Tumpuan :
Nasional

Konflik Asia Barat: Kelantangan Perdana Menteri mendapat pujian 

Wartawan dan Pengacara TV antarabangsa, Mehdi Hasan.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kelantangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan isu konflik Timur Tengah, khususnya Palestin disifatkan sebagai pendirian berani dalam memperjuangkan nilai moral sejagat.

Pujian itu dinyatakan Wartawan dan Pengacara TV antarabangsa, Mehdi Hasan yang percaya dunia memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Perdana Menteri itu.

Dalam temubual eksklusif Buletin Utama, Mehdi berkata, pendirian tegas Datuk Seri Anwar menyerlah dalam lawatan negara ke Jerman, Mac lalu ketika bertemu Canselor Olaf Scholz.

Dalam pertemuan itu, Malaysia dan Jerman menggesa gencatan senjata kekal di Gaza dengan pembebasan tawanan.

Kuala Lumpur dan Berlin juga mahu bantuan kemanusiaan dipercepat kepada rakyat Palestin.

“Saya kagum beliau bangun dan lantang menyuarakan apa yang berlaku di Gaza. Saya fikir apa yang beliau lakukan di Jerman Mac lalu, di mana beliau duduk sebelah Canselor Olaf Scholz, yang merupakan pemimpin pro-Israel dan bercakap kepada media (mengenai Palestin).

“Pada awalnya, ia kelihatan janggal, namun apabila Datuk Seri Anwar lantang bersuara mengenai penindasan rakyat Palestin di Gaza. Saya fikir itu adalah perkara yang baik.” katanya kepada Buletin TV3.

Pandangan beliau dikuatkan lagi setelah melakukan temubual secara eksklusif bersama Datuk Seri Anwar baru-baru ini yang akan disiarkan di portal digitalnya, Zeteo dalam masa terdekat.

Beliau turut menyatakan Malaysia sebuah negara berpendapatan sederhana yang mempunyai aspirasi untuk menonjolkan nilai moral yang baik di peringkat dunia.

“Perdana Menteri memberitahu saya bahawa dia adalah seseorang yang bercakap dengan semua pihak mengenai isu Palestin. Beliau mendakwa Hamas memberitahunya, mereka bersedia untuk penyelesaian secara aman.

“Jadi bolehkah beliau memainkan peranan sebagai broker? Mungkin. Bolehkah beliau memainkan peranan sebagai perunding? Mungkin.

“Kita boleh lakukan dengan beberapa muka baharu dalam kemelut di Timur Tengah. Ini kerana, pihak yang berunding selama ini, telah gagal. Jadi, mungkin kita boleh lakukan dengan beberapa suara baharu mengenai topik ini.” ujarnya.

Mehdi yang juga vokal mengenai kezaliman Israel, turut menyatakan kebimbangan terhadap peperangan yang memberi kesan kepada orang awam.

Dari perspektif geopolitik dan undang-undang antarabangsa katanya, Israel dilihat mengetepikan bantahan masyarakat antarabangsa mengenai konflik di Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini