comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Konflik selatan Thailand, Anwar, Prayuth bincang isu kepentingan bersama

 

BANGKOK: Pertemuan dan perbincangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya di Thailand, Prayuth Chan o-Cha diyakini akan mengambil kira segala aspek berkepentingan bersama termasuk isu berkaitan konflik tidak berkesudahan di selatan negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan kedua-dua pemimpin itu untuk membincangkan isu berkenaan.

Foto: NSTP

“Kita akan serahkan kepada kebijaksanaan kedua-dua pemimpin dalam pertemuan empat mata ini untuk mereka bincang perkara yang akan menjadi kepentingan bersama dan strategik bagi kedua-dua pihak,” katanya ketika sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand.

Beliau mengulas harapan besar banyak pihak untuk melihat Malaysia yang berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai itu, terutama peranan Anwar sendiri untuk membantu dalam memangkin proses rundingan damai selatan Thailand.

Jumaat lalu, Tan Sri Zulkilfi Zainal Abidin selaku Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi proses dialog damai Selatan Thailand, dilapor mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeneral Wanlop Ruksanaoh yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP).

Justeru, perbincangan antara dua perdana menteri hari ini, diyakini akan memperkemas lagi rangka rundingan sebelum berlangsungnya pusingan keenam rundingan damai konflik selatan Thailand di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Februari ini.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak bermula pada 2013, namun terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian.

Rundingan kemudian diteruskan tanpa membabitkan parti utama termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Pemantau bebas Deep South Watch mendedahkan serangan keganasan berterusan di selatan Thailand bermula 2004 membabitkan Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini