comscore
Tumpuan :
Nasional

Kongres Ekonomi Bumiputera platform tentukan hala tuju agenda Bumiputera

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) bulan depan bukan berhasrat untuk mengetepikan etnik lain sebaliknya ia adalah sebahagian agenda negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kongres itu akan menjadi platform dalam usaha menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera.

 

“Statistik Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan jumlah penduduk Bumiputera meningkat 70 peratus di negara ini dan kita tidak harus rasa bersalah kerana mengikut prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial untuk memakmur masyarakat Bumiputera dari segi ekonomi dan luar bidang ekonomi,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

KEB bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Kabinet telah mengarah beliau dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempengerusikan bersama kongres berkenaan.

Pada sidang media selepas majlis itu, menurutnya, KKDW dan Kementerian Ekonomi juga telah melantik pengerusi bagi setiap kluster bagi menjayakan KEB kali ini.

“Perancangan KEB tentunya bukan hanya mewujudkan resolusi tetapi tinggal atas kertas namun sekretariat tetap telah diwujudkan iaitu KKDW dan Kementerian Ekonomi untuk pantau pelaksanaan resolusi untuk tiap kluster dibentuk,” katanya.

Tambahnya, KEB yang dianjurkan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet akan menumpukan terhadap 10 kluster utama.

Antara kluster tersebut adalah reformasi pendidikan dan modal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi Bumiputera Sabah, ekonomi Bumiputera Sarawak serta penguasaan teknologi baharu.

Perdana Menteri juga akan menerima resolusi pada hari terakhir KEB dan dijangka mengumumkan usaha baharu memperkasa Bumiputera mencakupi perkara berkaitan teknologi baharu serta pelan futuristik untuk generasi akan datang.

“(KEB) melibatkan semua golongan profesional, ahli akademik dan pemain dalam industri yang terlibat dalam setiap kluster diwujudkan. Kita akan lihat komitmen kerajaan MADANI dalam laksanakan agenda Bumiputera menerusi (KEB),” katanya.

Jelasnya, KEB terdahulu telah menunjukkan keberkesanan antaranya penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang dilihat memainkan peranan besar dalam membantu ekonomi Bumiputera.

KEB telah dianjurkan sebanyak tiga kali sejak kali pertama pada tahun 1965 dengan kali terakhir pada 2020.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu aspirasi DESA MADANI menjadi agenda baharu KKDW sebagai pemangkin gerak kerja warga kementerian selain kesinambungan gagasan Malaysia MADANI.

Ia berdasarkan empat teras utama berpaksikan akronim KKDW merangkumi K untuk Kemahiran dan Pengetahuan, K untuk Keberkesanan dan Kecekapan, D (Data dan Digital) serta W (Wow-Factor).

Loading...
Terkini