comscore
Tumpuan :
Nasional

Konsep Madani pastikan Malaysia disegani di rantau ASEAN, antarabangsa

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerangka dasar baharu negara ‘Membangun Malaysia Madani’ penting diterapkan dalam sistem pentadbiran kerana ia mampu membantu Malaysia mencapai keunggulan sebagai sebuah negara bangsa yang dihormati di peringkat antarabangsa dan rantau ASEAN.

Atas dasar itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Novel Lyndon, berkata

kerangka dasar baharu itu hendaklah diterjemah dalam bentuk realiti melalui pelaksanaan dan tekad politik dan bukannya berasaskan idealisme semata mata.

Mengulas lanjut, katanya, Malaysia Madani yang direalisasikan secara praktikal kerana mampu membantu menangani pelbagai isu dalam negara.

“Saya berasakan konsep Madani ini penting bagi memastikan Malaysia dihormati dan disegani di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Pada masa sama ia boleh meningkatkan tahap keyakinan terhadap pentadbiran negara, sekali gus membantu menarik pelabur untuk melabur dalam negara.

“Dalam keadaan dunia yang bersifat global dan digital, penarafan indeks rasuah di Malaysia atau tata kelola yang baik melalui Madani mampu mengangkat negara menjadi Asian Tiger sekali lagi,” katanya kepada BH, di sini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan konsep Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Malaysia Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

Perdana Menteri memperkenalkan Malaysia Madani sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.

Pada masa sama Novel berkata, masyarakat antarabangsa atau nusantara boleh membantu dalam menjayakan Malaysia Madani melalui kerjasama dua hala apabila ia diterjemahkan ke dalam bentuk realiti dan bukannya bersifat gagasan.

Dalam erti kata lain, beliau berkata, dalam setiap urusan pelaburan dan kerjasama perniagaan konsep Malaysia Madani perlu diberi perhatian dan bukannya hanya memfokuskan terhadap aspek keuntungan semata mata yang sekali gus menidakkan nilai manusiawi.

“Teras kepada Malaysia Madani ialah manusia sebagai khalifah di muka bumi yang patuh kepada Tuhan.

“Malaysia Madani boleh membantu kerana dalam keadaan kita mengajar kebendaan, nilai manusiawi yang dilontarkan oleh agama dijadikan asas atau panduan dalam hubungan antara manusia dan alam semulajadi,” katanya.

Contohnya, beliau berkata, masalah inflasi dalam negara boleh dikurangkan jika teras akauntabiliti dan tata kelola yg baik diamalkan oleh elit politik dan elit ekonomi melalui Malaysia Madani.

Katanya, konsep Malaysia Madani ini bukan perkara baharu, sebaliknya ia pernah dilontarkan Anwar sendiri sejak 20 tahun yang selalu semasa beliau dalam kerajaan.

“Saya berasakan idealisme ini bagus dalam keadaan di mana masyarakat Malaysia pada hari ini sudah beralih daripada masyarakat tani kepada masyarakat industri.

“Nilai manusiawi, sahsiah, akhlak dan akauntabiliti penting dlm memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sbgai sebuah negara unggul yg disegani oleh rakan di rantau nusantara,” katanya.

Loading...
Terkini