comscore
Tumpuan :
Nasional

Konsert Taylor Swift sebenarnya tidak pernah ditawarkan kepada Malaysia – Adam Adli 

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyangkal dakwaan bahawa negara terlepas peluang ekonomi yang besar, apabila gagal menjadi tuan rumah bagi konsert penyanyi ternama, Taylor Swift.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, berkata Malaysia tidak pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur konsert berkenaan.

“Kita sudah mendapatkan sedikit penjelasan terutama daripada firma atau konsultansi sukan yang berpangkalan di Malaysia, Sportswork Group Sdn Bhd.

“Dalam isu yang dibangkitkan media mengenai peluang (menganjurkan konsert Taylor Swift) yang dikatakan Malaysia terlepas, ia tak begitu tepat.

“Konsert Taylor Swift ini sebenarnya tak pernah ditawarkan kepada Malaysia di bawah kontrak bersama ASM Global (syarikat pengurusan tempat Amerika Syarikat),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta penjelasan mengenai dakwaan siri jelajah konsert Swift sepatutnya tidak terlepas kepada negara lain mengambil kira terdapat perjanjian dengan ASM Global.

Semalam, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa Malaysia boleh dianggap terlepas peluang ekonomi apabila gagal memanfaatkan ruang yang ada bagi membolehkan artis antarabangsa mengadakan persembahan di negara ini.

Beliau berkata, barisan selebriti ternama antarabangsa sebenarnya berada dalam genggaman Malaysia melalui perjanjian dengan ASM Global.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, walaupun jelajah selebriti berkenaan diumumkan secara rasmi pada November 2022, berdasarkan penjelasan Sportswork Group Sdn Bhd, kesemua persembahan hiburan dirancang lebih awal daripada tarikh ia diumumkan.

Menjawab isu kontrak ditandatangani kerajaan dengan Sportswork Group Sdn Bhd, jelasnya, ia ditandatangani pada 2023 bertujuan menyokong pengurusan lokasi acara.

“Di pihak KBS, dari sudut penganjuran (konsert), ia bukan tanggungjawab kita. Permohonan untuk anjur sebarang persembahan terletak kepada kementerian lain. Kita hanya pihak yang bertanggungjawab menyediakan lokasi atau membantu dari segi logistik dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, menjelaskan insentif diberi kepada bintang pop, Taylor Swift menjadikan republik itu sebagai satu-satunya destinasi persinggahan siri jelajah dunia di Asia Tenggara, tidak berhasrat mencetuskan permusuhan dengan negara jiran.

Katanya, agensi kerajaan berunding dengan Swift untuk beliau datang, membuat persembahan dan menjadikan Singapura satu-satunya destinasi persinggahan dalam siri jelajahnya di Asia Tenggara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini