comscore
Tumpuan :
Nasional

Konsultan hadapi 15 pertuduhan guna dokumen palsu tuntut dana MITRA

P. Anbalahgan (kanan), bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas menghadapi pertuduhan menggunakan dokumen palsu bernilai RM300,000. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang perunding perniagaan berstatus muflis berdepan 15 pertuduhan menipu dokumen bagi menuntut dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) lebih RM300,000, tiga tahun lalu.

P Anbalahgan, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan Mitra, R Kavithah dengan memperdayakannya bahawa tiga penyata Hong Leong Bank atas nama Bengkel Motor Steben, lapan resit rasmi atas nama bengkel itu, empat invois yang dikemukakan di dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara bertarikh 14 April 2020 adalah benar dan tulen.

Perbuatan itu mendorong Kavithah menyerahkan wang berjumlah RM331,047 ke dalam akaun Bengkel Motor Steben yang mana wang itu tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Mitra, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 14 April 2020 dan 3 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Anbalahgan juga meminta dibicarakan atas 15 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan tiga penyata Hong Leong Bank palsu atas nama Bengkel Motor Steben, lapan resit rasmi palsu atas nama bengkel itu, empat invois palsu yang dikemukakan di dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara, di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan boleh dihukum  mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam M Yoges mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap memandangkan dia diisytiharkan muflis sejak 2007 selain mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggit dan gout.

“Anak guam saya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan dan anak guam saya memohon untuk membayar wang jaminan secara ansuran,” katanya.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

“Mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran RM5,000 hari ini, RM5,000 pada 4 Oktober dan RM10,000 pada 11 Oktober dan sebutan kes ditetapkan pada 3 November ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini