comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kontena Israel disahkan sebagai kontena muatan pindah kapal


JOHOR BAHRU: Kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, yang didakwa berada di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, di sini, disahkan sebagai kontena muatan pindah kapal atau transhipment.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata proses transhipment kontena itu adalah proses pergerakan barang yang dibenarkan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Katanya, sebagaimana proses transhipment biasa, kargo akan bergerak dari pelabuhan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga dalam jadual perjalanan.

“Kontena berkenaan akan transit (sementara) di pelabuhan ketiga dan akan ke destinasi seterusnya (negara lain).

“Hasil semakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia, sama ada melalui pintu keluar atau pintu masuk (import dan eksport) menggunakan kontena syarikat perkapalan berkenaan.”

“Bagaimanapun, pergerakan dalam zon bebas adalah tertakluk kepada Akta Zon Bebas 1990, dan dalam kawalan pihak berkuasa yang mempunyai hak di zon bebas berkenaan.”

“Dalam konteks ini (kontena berpangkalan dari Israel) pihak berkuasa zon adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Pengangkutan dilaporkan diarahkan membantu siasatan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata siasatan itu penting supaya tiada lagi insiden sedemikian berlaku di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Ahmad Zahir dilaporkan berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

Ahad lalu pula, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara zionis terbabit.

Beliau dilaporkan berkata jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.

Sabtu lalu, media melaporkan kewujudan kontena dari Israel itu menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan penduduk sekitar.

ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

Dalam pada itu, Aminul Izmeer berkata, JKDM Johor sentiasa memastikan kawalan yang sempurna di pintu keluar dan pintu masuk negara (import / eksport), termasuk menguatkuasakan larangan import / eksport kontena milik syarikat perkapalan dari Israel oleh Kementerian Pengangkutan.

Katanya, JKDM juga sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti kepada masyarakat dan pemegang taruh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini