JOHOR BAHRU: Dalam tempoh lima bulan, satu lagi sindiket penyeludupan dadah yang menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah sebagai pelabuhan transit berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.
Dengan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan dadah disyaki kokain di ruang pendingin hawa kontena, pasukan Cawangan Narkotik JKDM Johor kali ini berjaya membuat rampasan terbesar membabitkan dadah berjumlah 60.2 kilogram(kg) dianggarkan bernilai RM12.05 juta.
Pengarah JKDM negeri, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, serbuan pada jam 11.15 pagi, 1 Oktober lalu di terminal kontena pelabuhan itu dilaksana hasil maklumat Cawangan Risikan Zon Selatan, yang menyita kontena sejuk beku dengan dagangan diikrar sebagai udang segar sejuk beku.
Katanya, siasatan awal mendapati terdapat 19 tan udang segar sejuk beku yang bernilai RM735,000 seperti Borang Kastam 6 (Manifest Transhipment) dan Bill of Lading (Bil Muatan), namun pemeriksaan rapi ke atas kontena menemukan 62 bungkusan plastik lain yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemukan serbuk mampat berwarna putih yang disyaki dadah jenis kokain dan kita menyita keseluruhan 62 bungkusan itu.
“Jumlah berat barang larangan ini 60.2kg dengan anggaran nilai RM12.05 juta dan tindakan diambil di bawah Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB),” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.
Aminul Izmeer berkata, kontena dari India itu sudah berlabuh tiga hari di pelabuhan berkenaan dan dipercayai akan menuju ke Miami, Amerika Syarikat.
Menurutnya, siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 sedang dijalankan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa.
Pada 27 Mei lalu, agensi itu berjaya menggagalkan sindiket dadah antarabangsa yang menyeludup 51kg kokain bernilai RM10.3 juta dalam kontena yang diikrar dan berisi 2,900 bungkusan bawang segar, di pelabuhan sama.
Barang larangan itu disembunyikan di ruangan kompresor pendingin hawa, dengan kontena dipercayai dibawa masuk dari China, manakala destinasi akhirnya adalah sebuah syarikat beralamat di Kuching, Sarawak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.