
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kesemua 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan yang menyertai acara Jambori Pengakap Sedunia ke-25 di Korea Selatan berada dalam keadaan selamat setakat ini.
Ia susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Seoul.
“Menurut laporan awal, empat orang daripada kontinjen Malaysia telah mengalami masalah kesihatan seperti pening kepala, demam serta ruam. Kesemua mereka dilaporkan telah mendapat rawatan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Tambah Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus berhubung rapat dengan wakil kontinjen negara dan pihak penganjur untuk mendapatkan perkembangan semasa berhubung perkara berkenaan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul melalui alamat kedutaan di 129, Dokseodang-ro (Hannam-dong) Yongsan-gu Seoul atau menghubungi di talian +822 2077-8600 atau e-mel ke [email protected].
“Sebarang perkembangan terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan, beratus-ratus pengakap yang mengikuti jambori terbabit mengalami keletihan haba.

Susulan itu, pertubuhan pengakap dunia meminta untuk menamatkan acara itu lebih awal daripada yang dirancang, dengan kontinjen Britain dan Amerika Syarikat memilih untuk menarik diri.
Kira-kira 43,000 pengakap dari 158 negara menyertai acara perkhemahan remaja terbesar di dunia yang dijadual berlangsung sehingga 12 Ogos ini.
Terdahulu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengarahkan kerajaan untuk menyediakan bas berhawa dingin serta trak peti sejuk tanpa had untuk melindungi peserta jambori dan memuktamadkan perbelanjaan 6.9 bilion won (AS$5.3 juta) untuk membantu acara itu.