comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontrak suami Hannah Yeoh: Jika ikut proses betul, tiada masalah – Fahmi 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Tidak wujud sebarang masalah sekiranya pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, jika ia dibuat mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan.

Bagaimanapun jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menggesa agar orang ramai tidak menimbulkan persepsi dan menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

“Ada beberapa pihak khusus di kalangan pembangkang yang cuba menangguk di air keruh, bagi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat.

“Kita serah kepada pihak SPRM untuk melakukan siasatan melihat sama ada mengikut proses-proses ataupun tidak, dan sekiranya ada elemen-elemen rasuah.

“Sekiranya SPRM capai keputusan tidak ada masalah dan so be it, tapi sekiranya SPRM merasakan ada sesuatu maka ambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Karnival Madani Peringkat Wilayah Persekutuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau juga turut menggesa orang ramai tidak menyebarkan data peribadi orang lain yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Peribadi.

Terdahulu, media melaporkan penganugerahan kontrak sistem DRT itu dipersoal PAS Selangor yang mendakwa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan syarikat tersebut, selain pemberian kontrak itu yang didakwa tidak dibuat melalui tender terbuka.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han dalam kenyataannya menjelaskan, Asia Mobility Sdn. Bhd. dan Badan Bas Coach Sdn. Bhd. dipilih untuk sistem DRT yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini