comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontraktor dikesan langgar SOP kerja korek jalan, ganti paip

FOTO: DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 10 notis kompaun terhadap kontraktor kerja-kerja pembaikan membabitkan kerja korek jalan, penggantian paip dan beberapa lagi atas pelbagai kesalahan melanggar garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.

DBKL dalam kenyataan berkata, notis kompaun terbabit dikeluarkan semalam menerusi operasi Tindakan Khas Kerja Korekan Jalan Awam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Siri 6 tahun ini.

Katanya, tindakan itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran; Jabatan Perancangan Infrastruktur; Jabatan Pengangkutan Bandar dan Jabatan Integriti DBKLdi Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Sentul, Jalan Sentul Pasar, Jalan Tumbuhan, Jalan Ayer Panas serta Jalan Loke Yew, di sini.

“Menerusi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu atau kontraktor yang melanggar garis panduan bagi menjalankan apa-apa aktiviti membabitkan kerja-kerja korek jalan, penggantian paip, saluran longkang, pemasangan utiliti, penggunaan jentera berat atau angkut bahan, struktur pembinaan, halangan lalu lintas, penutupan jalan dan keselamatan awam termasuk pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam operasi kali ini, DBKL membuat pemeriksaan di tujuh lokasi berasingan sekitar WPKL dan telah mengesan empat aktiviti kerja korek jalan telah melanggar SOP yang telah ditetapkan, manakala tiga lagi aktiviti telah mendapat permit kebenaran dan menjalankan kerja-kerja korek jalan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

FOTO: DBKL

Katanya, DBKL mengeluarkan 10 notis kompaun kepada kontraktor di tapak operasi membabitkan pelbagai kesalahan am seperti tiada permit kerja korek jalan, tiada permit bagi penutupan jalan, gagal menyediakan lampu (blinker) mencukupi di tapak kerja, tiada kawalan lalu lintas (flagman) semasa penutupan jalan, sisa korekan (air lumpur/tanah/batu) disalurkan ke dalam longkang awam dan lori angkut bahan beroperasi tanpa permit laluan.

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (8 notis), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (1 notis) dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (1 notis).

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa di 11 Parlimen WPKL,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini