comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah perjelas proses pemurnian undang-undang Syariah-Sivil

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah yang bakal dianjurkan pada Isnin depan bertujuan menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian serta pengharmonian undang-undang Syariah-Sivil di semua peringkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang itu kini sedang diusahakan pihaknya menerusi agensi di bawahnya yang berkaitan.

“Ia (konvensyen) juga bermatlamat memperkukuh kefahaman dan memperkasa tindakan dalam usaha-usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, konvensyen yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan membuka ruang dan wadah dialog terbuka, profesional selain membina ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman Syariah di negara ini secara komprehensif serta menyeluruh.

Konvensyen tersebut akan diadakan di Dewan Damar Sari, Blok F, Kompleks F, Presint 1, di sini dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Mengulas lanjut, menurut Datuk Dr Mohd Na’im, seramai 1,000 peserta dalam kalangan pengamal undang-undang terdiri daripada hakim, peguam, pimpinan politik dan komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri konvensyen terbabit.

Ujarnya, penganjuran konvensyen tersebut melibatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Orang ramai yang berminat menyertai konvensyen itu boleh menghubungi Mamat Haizan Salleh (03-8870 9299) atau Shahrizan Ab. Rahim (03-8870 9287) atau menerusi email: [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini