Tumpuan :
Nasional

Konvokesyen UPSI: M Nasir terima Ijazah Kehormat, 7,172 graduan diraikan

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

TANJONG MALIM: Seramai 7,172 graduan bakal menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (Phd) pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, bermula esok hingga 30 November.

Pada istiadat berkenaan juga, penggiat seni terkenal tanah air, Datuk M Nasir akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan manakala Datuk Nash menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff sebanyak lapan sidang akan diadakan sepanjang istiadat konvokesyen di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah itu.

Katanya, seramai 154 graduan akan menerima Ijazah Phd manakala Ijazah Sarjana (943), Ijazah Sarjana Muda (4,768), Diploma (755) dan 552 (Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah).

“Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan majlis istiadat dan menyampaikan ijazah kepada graduan pada sesi pertama.
“Pada sesi ini juga, penghargaan akan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran Diraja dan Pingat Emas Canselor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin dan Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani.

Dr Md Amin berkata pemilihan M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persembahan adalah selaras dengan pengalaman seninya selama empat dekad bermula 1979.

Katanya, M Nasir turut menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021 manakala syarikat Luncai Emas Sdn Bhd miliknya menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak dari tahun 2016 sehingga sekarang.

“Sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.

“Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats bertajuk `Senandung Semalam’ pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah `Hujan’ yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity,” katanya.

Sementara itu, Datuk Nash yang aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1986 pernah menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagunya `Pada Syurga Di Wajahmu’ (1922) dan `Zahir Tak Terucap (1993)’.

Dua insan seni ini akan membuat persembahan sebagai selingan pada sesi pertama konvokesyen.

Sementara itu, Dr Norkhalid berkata bersempena istiadat kali ini, UPSI turut menganjurkan Pesta Konvokesyen di Dataran Cemerlang Bersama UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.

Program yang diadakan sepanjang konvokesyen itu, menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti reruai jualan makanan, pameran pendidikan dan kesihatan.

Tidak ketinggalan persembahan istimewa M Nasir, Datuk Nash dan beberapa lagi artis terkenal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini