comscore
Tumpuan :
Nasional

Kos pengajian pelajar cemerlang 11A, kakak ditanggung Kerajaan Kelantan 

FOTO: NSTP

BACHOK: Kerajaan Kelantan akan menanggung kos pengajian pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 11 A, Muhammad Syahril Saidi, 18 jika dia berhasrat menyambung pengajian.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, selain Muhammad Syahril, pihaknya juga akan membantu kakak pelajar itu yang turut menangguh pelajaran kerana menjaga ibu mereka yang sakit.

Artikel berkaitan: `Saya reda Umi pergi’ – Pelajar cemerlang 11A SPM

Katanya, maklumat lengkap berkenaan remaja itu dan kakaknya akan diambil untuk bantuan susulan.

“Kita sedia maklum perihal pelajar itu daripada Penghulu Mukim dan difahamkan kakaknya juga dapat tawaran belajar sebelum ini namun menolak kerana menjaga ibu mereka.

“Jadi kita akan beri bantuan yang berkaitan, terutamanya soal pendidikan,” katanya ketika ditemui melawat pelajar berkenaan yang kematian ibunya di Kampung Kandis, Bachok.

Artikel berkaitan: Ibu pelajar 11A meninggal dunia 

Beliau berkata, setakat ini Muhammad Syahril akan meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, di sini, untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Dia berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Malaya juga dalam bidang agama.

“Jika dia nak sambung, kita akan bantu mana yang boleh, kita pastikan pendidikan mereka diteruskan walaupun sudah kehilangan ibubapa,” katanya.

Pelajar cemerlang SPM, Muhammad Syahril Saidi, 18 mengimamkan solat jenazah ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, di Masjid Pondok Moden Kandis, Bachok, Kelantan. – FOTO: NSTP

Jenazah ibu pelajar berkenaan, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53 yang sakit angin Ahmar disolatkan di Masjid Pondok Moden Kandis dan dikebumikan jam 11.00 pagi di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang Lati, Jelawat.

Syahir berkata, selain soal pendidikan, dia juga difahamkan pelajar itu dan keluarganya dari golongan susah.

Artikel berkaitan: Pelajar peroleh 11A SPM mohon orang ramai hormati ibu uzur

Sebelum ini, mereka menyewa rumah kayu di Kampung Kandis sebelum baru berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa di taman perumahan di kampung sama hasil perkongsian duit abang dan kakak yang bekerja demi keselesaan ibu mereka.

“Kita akan lihat juga ruang untuk kita bantu mereka dapatkan rumah melalui bantuan yang ada,” kata Syahir.

Loading...
Terkini