comscore
Tumpuan :
Nasional

Kos pulihara tapak pelupusan sampah haram Twin Palms, Tasik Black Water cecah puluhan juta ringgit

FOTO: NRECC / Facebook

KAJANG: Kos pemuliharaan tapak pelupusan sampah haram di Twin Palms, Sungai Long serta Tasik Black Water di Bandar Mahkota Cheras boleh mencecah puluhan juta ringgit.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagi Twin Palms, ia mengalami masalah pengeluaran gas metana kerana berlakunya pembakaran di kawasan itu yang secara tidak langsung bau sampah menghasilkan gas tersebut dan masalah pereputan sampah itu dihidu penduduk setempat.

“Jadi kalau hendak jangka panjang untuk menyelesaikan masalah gas metana itu, gas metana harus dikeluarkan dan anggaran pembinaan sistem tersebut adalah antara RM15 juta hingga RM20 juta.

“Black Water Lake pula, terdapat dua opsyen iaitu jika hendak bersihkan tasik tersebut anggaran diberikan RM42 juta dan jika hendak menutup tapak sebagai inert landfill sebanyak RM18 juta. Terdapat dua cadangan untuk penyelesaian jangka panjang,” katanya selepas meninjau kedua-dua lokasi pelupusan sampah haram itu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata pihaknya sedang meneliti opsyen berkenaan ekoran kos pemuliharaan tapak pelupusan sampah haram itu sangat tinggi disebabkan kerosakan berskala besar terhadap alam sekitar untuk dipulihkan semula.

“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk melihat cara terbaik dan di samping itu, notis telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah kepada pemilik kerana mereka melanggar syarat. Semua tanah ini adalah hak milik persendirian dan bukan tanah kerajaan,” katanya.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Mei lalu, JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 236 arahan lapangan/amaran, 28 kompaun, 58 notis arahan dan satu tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

Bagi kes tapak pelupusan haram berhampiran Twin Palms, JAS sedang melengkapkan kertas siasatan untuk kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, larangan atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Bagi kes di Tasik Black Water, ia adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan tindakan lanjut sedang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kajang.

Menurut rekod JAS, sebanyak 101 kes aduan dilaporkan yang melibatkan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 25 Mei 2023.

Loading...
Terkini