comscore
Tumpuan :
Nasional

Kos sara hidup antara punca perceraian tinggi di Selangor

Foto hiasan

SHAH ALAM: Kos sara hidup yang tinggi di Selangor berbanding negeri lain menjadi antara punca utama kes perceraian di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Beliau berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup itu mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.

“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.

“Disebabkan kesibukan bekerja, masa berkualiti bersama anak berkurangan terutama bagi mereka yang berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) mengenai faktor yang mendorong perceraian tertinggi di Selangor berbanding negeri lain pada 2023.

Mohammad berkata, migrasi dalaman membabitkan penduduk dari luar Selangor, migrasi antarabangsa yang datang bekerja di Lembah Klang, selain tawaran peluang pekerjaan tinggi menyumbang kepada bilangan penduduk yang tinggi di negeri ini.

“Penduduk luar yang bernikah di luar negeri ini dan kemudiannya bekerja dan bermastautin di sini sudah tentunya akan mendaftarkan perceraian mereka di Selangor.

“Ini kerana setiap masalah berkaitan institusi kekeluargaan yang timbul akan didaftarkan dan diselesaikan berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan pesat di Selangor juga salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di negeri itu.

“Pertumbuhan ekonomi yang rancak di Lembah Klang mengakibatkan Selangor menjadi hub utama bagi semua sektor pembangunan ekonomi. Banyak peluang pekerjaan ditawarkan mengakibatkan kadar komposisi penduduk di Selangor meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, informasi berkaitan hak dan tanggungjawab dalam rumah tangga banyak dikongsikan melalui platform media sosial turut menjadi faktor kepada masyarakat untuk lebih memahami hak dan tanggungjawab mereka dalam rumah tangga.

“Akses kepada perkhidmatan peguam syarie sama ada disediakan oleh agensi kerajaan ataupun swasta dilihat banyak membantu masyarakat di Selangor mendapatkan hak mereka melalui sistem kehakiman dan perundangan yang betul seterusnya menyumbang kepada jumlah perceraian tinggi di Selangor.

“Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mencadangkan supaya satu kajian yang menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi untuk mengenal pasti punca perceraian di Selangor.

“Hasil kajian ini kelak boleh diguna pakai oleh kerajaan negeri atau agensi yang berkaitan untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini