comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN beri kelulusan serta merta permohonan lengkap pengangkutan layak SKDS

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberikan kelulusan serta-merta bagi permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menerusi satu kenyataan berkata, permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama.

“Proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sehubungan itu, syarikat-syarikat yang tersenarai dalam 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan adalah disarankan membuat permohonan segera.” katanya menerusi kenyataan itu.

Kelulusan yang diperolehi sehingga 30 Jun ini membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan.

Selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun lalu, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai depan untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun 2024 sahaja.

Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa  terdekat.

Pada masa yang sama, KPDN ingin mengingatkan semua syarikat yang telah diluluskan SKDS agar tidak menyalahgunakan fleet card yang diberikan bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

“Sekiranya berlaku penyalahgunaan fleet card oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit.” tegasnya.

Setakat jam 8 pagi, 23 Jun lalu,  jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Kementerian juga ingin menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

KPDN telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian.

“Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan, maka KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.” tambahnya.

Pada masa yang sama, KPDN turut menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh peniaga-peniaga yang beretika serta tidak melakukan aktiviti pencatutan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya selari dengan penetapan harga baru diesel di pasaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini