comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN bincang insentif untuk penyedia Menu Rahmah

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR: Kemungkinan untuk penyedia-penyedia Menu Rahmah menerima insentif bukan subsidi bakal dibincangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan beberapa kementerian lain.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin beberapa kelebihan dapat diberikan kepada pengusaha yang terbabit berbanding pemberian insentif berbentuk subsidi, menerusi sesi libat urus berkenaan.

“Memang kita bermula tanpa insentif daripada kerajaan, ia bermula dengan satu libat urus antara kementerian dan pemain industri.

“Sampai ke hari ini kita masih teruskan libat urus dan nampaknya Menu Rahmah dapat sambutan baik dari hari ke hari. Saya tak nampak perlunya beberapa insentif itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pemberian insentif kepada pengusaha makanan yang menyediakan Menu Rahmah.

Beliau terdahulu hadir ke Majlis Makan Malam Amal Belia Bersama Pemain Industri Peringkat Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Salahuddin berkata, pihaknya mahu pelaksanaan Menu Rahmah menjadi satu budaya dan nilai dalam hati setiap rakyat dan pemain industri walaupun tanpa sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan.

Katanya, sebagai alternatif, kementerian mungkin melaksanakan libat urus dengan kementerian lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya dapat memberi kelonggaran soal sewa contohnya.

“Contohnya, jika ada kedai makan atau industrri yang libatkan barangan asas seperti kebun sayur dan tanaman sayur atau pengusaha ayam, itu kita akan permudahkan jika mereka perlu sebilangan pekerja asing.

“Tiada premis itu disaman pihak berkuasa bagi kesalahan tertentu, itu kementerian akan pertimbangkan budi bicara kita supaya mereka ini diberi timbang tara.

“Tapi kita tak berkompromi kesalahan besar. Bagi kesalahan kecil, kita boleh timbangkan kerana mereka menyumbang kepada kejayaan kita melakukan inisiatif payung rahmah ini,” katanya.

Media pada 2 Mac lalu melaporkan kerajaan bersedia mempertimbangkan pemberian insentif kepada pemilik restoran atau kedai makan yang menyediakan Menu Rahmah sekiranya mendapat permohonan.

Salahuddin dilaporkan berkata, beliau akan memanjangkan perkara itu kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Salahuddin turut mendedahkan terdapat pengusaha makanan atau pasar raya yang mendapat keuntungan berlipat kali ganda selepas menawarkan harga lebih murah menerusi inisiatif rahmah itu.

Katanya, ia satu situasi menang menang kepada kedua semua pihak sama ada kerajaan, pengusaha dan rakyat walaupun kerajaan tidak menyumbangkan sebarang insentif. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini