Tumpuan :
Nasional

KPDN buka 66 kes, kompaun lebih RM7 ribu sepanjang SHMMP Deepavali

KPDN telah membuka 66 kes sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 bermula 28 Oktober dan berakhir 3 November lalu.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuka 66 kes sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 bermula 28 Oktober dan berakhir 3 November lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya telah membuat sitaan bernilai RM3,870 dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM7,100.

Katanya, sebanyak 65 kes peniaga gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu manakala satu lagi kęs kerana menjual melebihi harga maksimum.

“SHMMP Deepavali 2024 yang telah bermula pada 28 Oktober dan berakhir pada 3 November lalu telah dilaksanakan dengan jayanya.

“Sepanjang tempoh penguatkuasaan SHMMP Deepavali 2024, sebanyak 3,887 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara.

“Ia merangkumi 61 pemeriksaan ke atas premis pengeluar dan borong serta 3,826 pemeriksaan ke atas premis runcit,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pelaksanaan skim berkenaan merupakan langkah kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama kepada masyarakat yang menyambut Deepavali.

Sebanyak 8 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.

Tambahnya, pihak KPDN juga tidak menerima sebarang aduan sepanjang skim berkenaan dijalankan.

Majoriti peniaga yang diperiksa menyatakan komitmen mereka selain mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuatkuasa sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini