comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN dalam fasa persediaan laksana subsidi bersasar

 

Foto hiasan

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masih dalam fasa persediaan sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

Timbalan Menteri, Fuziah Salleh berkata, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar akan diumumkan kerajaan.

“Selagi kerajaan belum membuat pengumuman, mana-mana pihak termasuk laporan antarabangsa jangan mendahului kerajaan.

“Tunggu pengumuman rasmi. Memang kita ke arah melaksanakan subsidi bersasar dan KPDN sendiri sedang melaksanakan mekanisme untuk mempersiapkan diri.

“Sebagai contoh subsidi diesel, ada sembilan kategori lori yang layak menerima subsidi dan kita sudah meminta syarikat berkenaan membuat pendaftaran. Sekarang ini kita secara aktif membuat pendaftaran untuk mereka yang layak supaya sebaik saja subsidi bersasar dilaksanakan, mereka sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN Kelantan.

Hadir sama Pengarah KPDN Kelantan, Datuk Azman Ismail.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kabinet belum berbincang mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

Justeru, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menyangkal laporan media luar kononnya kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga bahan bakar itu.

Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri belum membincangkan perkara itu termasuk pada minggu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini