comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Johor sita 33,890 unit bahan bakeri dan plastik pembungkus guna logo halal tidak diperakui

KPDN Johor menyita 33,890 unit bahan bakeri dan plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah dari sebuah premis dan stor membuat bahan bakeri itu di sekitar Bandar Seri Alam, Masai di sini, semalam. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita sebanyak 33,890 unit bahan bakeri dan plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui dari sebuah premis dan stor membuat bahan bakeri itu di sekitar Bandar Seri Alam, Masai di sini, semalam.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Halal ke atas premis berkenaan yang disyaki menggunakan logo halal tidak diperakui dalam tujuan perdagangan.

“Dalam operasi yang dijalankan semalam, KPDN Johor menyita sebanyak 33,890 unit bahan bakeri dan plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh badan yang bertanggungjawab.

“Nilai semua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM23,035.20,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Halal yang membabitkan enam pegawai dan anggota penguatkuasa KPDN Johor bersama pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dijalankan berasaskan aduan awam yang diterima berkenaan pengunaan logo halal yang tidak diperakui pada produk yang dibungkus oleh sebuah syarikat.

“Hasil pemeriksaan, tindakan kes diambil di bawah Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

Lilis Saslinda berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi untuk memastikan operasi perniagaan berjalan dengan cara yang dibenarkan dan pengguna boleh mendapatkan barangan serta perkhidmatan tanpa rasa was-was terutamanya berhubung dengan isu halal.

Selain itu, katanya, KPDN Johor juga menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat.

“Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDN melalui Pusat Panggilan 1800-886-800; Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) di talian 03-8882 6245/6088; Whatsapp KPDN, 019-279 4317; emel [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU atau lapor ke mana-mana lapan Pejabat KPDN di seluruh negeri ini,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini