comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Kedah rampas minyak masak dan gas LPG 

FOTO: Ihsan KPDN

ALOR SETAR: 466 peket minyak masak satu kilogram (1kg) dan 13 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam dua serbuan berasingan di Kulim, semalam.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan yang bermula jam 2 petang itu dilakukan atas aduan orang awam berhubung aktiviti penjualan dan penggunaan minyak masak dan gas LPG oleh pemilik premis berkenaan.

“Pemeriksaan di premis pertama di sebuah kedai runcit yang menjual barangan keperluan harian dan premis itu mempunyai lesen runcit yang masih sah untuk menjual barang kawalan berjadual iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum dengan had simpanan lesen runcit bagi minyak masak adalah 1,000 kg.

“Pemeriksaan lanjut di premis sebelah yang dimiliki pemilik kedai runcit itu pula telah menjumpai 370 minyak masak peket satu kilogram yang tiada dinyatakan dalam lesen runcit terdahulu sebagai tempat penyimpanan barang kawalan,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah premis perniagaan restoran dan katering yang turut dimiliki pemilik yang sama, menemukan 96 lagi minyak masak peket dan 13 tong gas LPG bersamaan dengan 182 kg.

FOTO: Ihsan KPDN

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Semua minyak masak dan tong gas yang dianggarkan bernilai lebih RM1,500 itu telah disita.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawasan Bekalan 1961 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021,” katanya.

KPDN tegasnya memberi peringatan kepada semua peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan terjadual terutamanya minyak masak dan gas LPG untuk mendapatkan permit kebenaran menyimpan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh KPDN.

Loading...
Terkini