comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Kedah tumpas sindiket penyelewengan diesel di Baling

FOTO: KPDN Kedah

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menumpaskan sindiket penyelewengan diesel dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di daerah Baling, semalam.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan pada jam 1 petang  oleh anggota dan pegawai KPDN Cawangan Baling itu, hasil risikan sejak beberapa minggu lepas.

“Ketika serbuan terdapat tiga lelaki warga tempatan berumur antara 20 hingga 30 tahun sedang mengisi minyak diesel ke dalam tiga tong plastik yang berada di bahagian belakang sebuah lori.

“Pemeriksaan lanjut menemukan minyak diesel dianggarkan berjumlah 500 liter bernilai RM1,075 telah diisi ke dalam tong-tong plastik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang individu yang mengaku sebagai pemilik lori itu gagal mengemukakan sebarang permit yang sah untuk memiliki barang kawalan berkenaan.

“KPDN telah menyita minyak diesel berkenaan bersama tiga tong plastik berkapasiti 200 liter setiap satu dan sebuah lori yang jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM25,000. Tiga lelaki berkenaan serta seorang pekerja stesen minyak itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini