comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Kelantan lupus barang tiruan lebih RM660,000

 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail menggunting baju jenama tiruan pada Program Pelupusan Ekshibit Peringkat KPDN Kelantan di Kandis, Bachok.

BACHOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melupuskan barangan tiruan bernilai RM664,061.22 yang diperoleh sejak Januari lalu.

Barangan itu antaranya pakaian, wangian, aksesori wanita, alat ganti motosikal, peralatan komputer, alat timbang sukat dan minuman pracampuran membabitkan 47 kes.

Pengarah KPDN negeri, Azman Ismail berkata, program pelupusan itu membabitkan enam akta berkaitan Akta Kawalan Bekalan 1961; Akta Perihal Dagangan 2011; Akta Timbang dan Sukat 1972; Akta Kawalan Harga & Anti-pencatutan 2011; Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kebanyakan barangan tiruan ini dijual di pasar malam, tapi ada juga di premis perniagaan dan jualan dalam talian. Ia daripada pelbagai sumber.. ada dari China dan negara jiran.

“Ia termasuk apabila pemilik cap dagangan buat laporan, yang kita ambil tindakan dan sita barangan tiruan itu mengikut akta berkaitan,” katanya ketika ditemui pada Program Pelupusan Ekshibit Peringkat KPDN Kelantan hari ini.

Menurutnya, kaedah pelupusan barangan tiruan dimusnahkan dengan cara dipotong, dikoyak, digunting dan dihancurkan mengikut jenis barangan supaya barangan tidak boleh dijual semula.

Dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan KPDN negeri telah memeriksa 15 premis perniagaan selepas pengumuman kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan sebanyak lapan peratus.

Katanya, pihaknya juga mengeluarkan 15 notis pengesahan maklumat barang (NPMB) membabitkan 45 perkhidmatan pusat kecantikan, pusat latihan memandu dan pusat penjagaan diri dalam Ops Kesan bermula 1 Mac lalu.

“Peniaga yang menerima notis perlu memberi maklum balas dalam tempoh empat hari berhubung pelarasan harga barang dan perkhidmatan yang dibuat.

“Maklum balas ini untuk KPDN meneliti pelarasan harga yang dibuat peniaga selari dan tidak bertentangan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini